Sistem Pemerintahan Sejarah_Perak

Di zaman pemerintahan silam, sistem pemerintahan Kesultanan Negeri Perak masih meneruskan konsep ketradisionalan Kesultanan Melayu Melaka dengan sedikit perubahan dan penyesuaian dengan keadaan negeri dan masyarakat. Sistem gelaran Orang-Besar-Besar Negeri masih mewarisi Kesultanan Melaka tetapi terdapat sedikit perubahan iaitu dengan mengwujudkan gelaran-gelaran baharu saperti Orang Besar Lapan, Enam Belas dan Tiga Puluh Dua disamping mengekalkan konsep gelaran dan fungsi Orang Besar Empat Kesultanan Melaka. Tetapi gelaran Orang Besar Empat ini juga telah di ubah mengikut kesesuaian zaman dan masyarakat dan sekarang gelaran ini di kenali sebagai :-

  • Tengku Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja wakil al Sultan Wazir Kabir.
  • Tengku Orang Kaya Besar Maharaja Di Raja.
  • Tengku Orang Kaya Temenggung Paduka Raja.
  • Tengku Orang Kaya Menteri Paduka Tuan.

Di zaman pemerintahan Sultan Muzzaffar Shah jawatan Bendahara Paduka Raja telah disandang oleh Megat Terawis. Megat Terawis dikatakan berasal dari kerabat di raja Pagar Ruyong (Minangkabau) yang datang ke Perak bersama-sama Sultan Muzzaffar Shah dari Kampar. Sultan Muzzaffar Shah telah melantik beliau sebagai Bendahara bagi mengantikan Tun Muhammad setelah Megat Terawis berjaya menghapuskan Tun Saban yang bersengketa dengan baginda.

Corak pemerintahan tradisional ini walau pun dari kacamata barat dianggap sebagai amalam feudal yang tidak demokrasi tetapi jika diteliti dari segi pentadbirannya jelas menunjukkan bahawa sistem pemerintahan demokrasi telah lama dipraktikkan di Negeri Perak sebelum Inggeris menerjah masuk. Ini dapat dilihat dalam sistem perlantikan Sultan, pembesar negeri dan strultur pemerintahan itu sendiri.

Sejak dari perlantikan tersebut keturunan Megat telah memegang jawatan Bendahara Perak hinggalah akhir kurun ke 18 apabila Bendahara Megat Abu Kassim menyerahkan balik jawatan tersebut kepada Sultan Iskandar Zulkarnain kerana satu perbalahan.

Di zaman pemerintahan Sultan Iskandar Zulkarnain (1756-1770) Negeri Perak menempuh kegemilangan sejarahnya. Zaman ini lah disifatkan oleh ahli-ahli sejarah sebagai zaman keemasan. Hakikat ini dapat dilihat daripada catatan yang terdapat didalam Hikayat Misa Melayu yang menceritakan dengan jelas khusus mengenai zaman tersebut dan perihal kebijaksanaan kepimpinan dan kegagahan baginda memerintah negeri. Syair "Sultan Perak Melawat Jajahan Takluknya" sebagaimana yang terdapat didalam hikayat ini adalah satu contoh yang begitu terkenal lagi menggambarkan keadaan pemerintahan dan masyarakat di zaman tersebut.

Campurtangan Inggeris di Perak

Percampuran dasar Inggeris terhadap Negeri-negeri Melayu di akhir kurun ke 19 telah mendorongkan pihak British untuk mengubah sikap berdagang dan campurtangan dalam urusan politik dan pertadbiran - iaitu penjajahan secara langsung atau tidak langsung terhadap kesemua Negeri Melayu di Semenanjung. Saperti helang kelaparan mereka hanya menunggu peluang dan ketika yang sesuai untuk menyambar terus kemakmuran Negeri Perak. Inggeris yang telah lama mengkaji sistem pentadbiran, struktur, sosial, ekonomi dan politik bumiputera di Negeri-Negeri Selat dan di negara-negara yang dijajahnya telah berjaya menyingkap segala aspek kehidupan masyarakat Melayu dan menggunakan kelemahan-kelemahan yang terdapat untuk menguasai terus Negeri Perak dengan memperalatkan institusi-institusi traditional. Peluang ini tercapai apabila berlaku perselisihan merebut takhta kerajaan semasa Sultan Ali Al-Mukamal Inayat Shah, Sultan Perak ke 24 mangkat di Sayong pada tahun 1871. Raja Muda Abdullah yang bersemayam di batak Rabit sepatutnya mudik ke Sayong untuk ditabalkan sebagai Sultan tetapi beliau enggan berbuat demikian. Ini telah mengakibatkan jenazah Almarhum tidak dapat dimakamkan selama sebulan, dan bagi menyelesaikan masaalah ini Raja Bendahara Ismail telah ditabalkan sebagai Sultan.

Maka berlakulah perselisihan yang berlarutan diantara Raja Abdullah dengan Sultan Ismail. Di samping ini terdapat pula pergaduhan besar dan sikap bermusuhan diantara dua kongsi gelap pelombong-pelombong Cina, Ghee Hin dan Hai San disekitar Kelian Puah dan Kelian Baharu dan berlarutan hingga ke negeri-negeri lain. Peperangan telah berlaku disepanjang tahun 1861- 1862 dan 1871-1874.

Pergaduhan-pergaduhan dan perselisihan merebut takhta kerajaan ini telah di pergunakan sepenuhnya oleh pihak Inggeris untuk mencampuri urusan dalam Negeri Perak supaya kepentingan mereka tidak terjejas dan kekayaan Negeri Perak dapat di eksplotasikan sepenuhnya bagi menampung keperluan ekonomi negara ibunda mereka. Raja Abdullah dan beberapa orang Orang Besar-Besar Perak telah berunding di Pulau Pangkor. Wakil-wakil kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San juga turut hadir. Maka pada 20 Februari 1874 termeterinya satu perjanjian yang di namakan Perjanjian Pangkor.

Kejayaan Inggeris dalam babak pertama dalam siri penjajahan mereka di Tanah Melayu ini telah menjatuhkan mertabat kuasa mutlak Raja Melayu terhadap tanah air mereka sendiri dengan hanya menjadi Sultan sebagai ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja. Urusan pentadbiran dan ekonomi dalam negeri terserah bulat-bulat kepada budibicara Residen Inggeris yang secara langsung di pertanggung jawabkan oleh Gabenor Negeri Selat untuk melaksanakan rancangan pembangunan raksaksa - Sistem Residen.

Perjanjian Pangkor dan perlaksanaan sistem Residen ini pada dasarnya telah dapat meredakan seketika persengketaan di antara golongan-golongan yang bersengketa dalam Negeri Perak. Dengan bersenjatakan Perjanjian Pangkor yang pada anggapan Inggeris akan di patuhi oleh semua pihak dan tidak akan di tentang oleh orang-orang Melayu yang selama ini dianggap mudah di pergaul-gaulkan, J.W.W.Birch, Residen Inggeris yang pertama telah memulakan tugasnya tanpa menaruh sebarang buruk sangka atau perasaan curiga.

Orang Besar-Besar Perak dan Sultan Abdullah sendiri akhirnya menyedari akan kesilapan mereka menandatangani Perjanjian Pangkor yang secara langsung mengetepikan hak tradisi mereka dalam urusan kutipan cukai dan menguasai hasil mahsul dalam jajahan masing-masing telah menghadapi jalan buntu bagi menghadapi kekuatan kuasa penjajah Inggeris ini. Akhirnya mereka telah mengambil jalan singkat dengan membunuh J.W.W. Birch dan pengiring-pengiringnya di Pasir Salak pada 2 November 1875.

Berikutan daripada peistiwa berdarah ini Inggeris telah melancarkan perang besar-besaran terhadap orang-orang Melayu Perak dengan tujuan untuk menangkap pembunuh J.W.W. Birch. Pasukan-pasukan polis, tentera dan tentera laut Inggeris dibawah pimpinan Kapten Speedy telah mengepung perairan Perak. Rumah-rumah orang-orang Melayu yang di syaki telah di bakar, kota pertahanan orang-orang Melayu di Batak Rabit telah di serang habis-habisan dan akhirnya ditawan. Inggeris terus mara di sepanjang Sungai Perak dan membunuh tanpa belas kasihan. Sungguh pun kekurangan senjata dan tektik peperangan oarng-orang Melayu Perak masih mampu melawan serangan Inggeris saperti yang di lakukan di Kota Lama. Peperangan Perak ini telah berlanjutan hingga ke tahun 1876 dan akhirnya kesemua yang terlibat dalam peristiwa pembunuhan J.W.W. birch ditangkap dan dibicarakan peperangan ini ditamatkan.

Nasionalisme di negeri Perak

Maka tercatatlah dalam sejarah bangsa Melayu dan Negeri Perak nama-nama saperti Dato' Maharaja Lela, Dato' Sagor, Si Puntum, Pandak Endut, Che' Gondah, Ngah Ahmad, Laksamana Tun Mohamad Amin, Syahbandar, Che' Ngah Ibrahim,dato pendekar ahmad tok merah katidan lain-lain lagi disamping Sultan Abdullah sendiri sebagai penebus maruah bangsa Melayu dalam mempertahankan kedaulatan tanah air dan hak mutlak Kesultanan Melayu. Ramai diantara mereka yang dihukum gantung dan di buang negeri di asingkan di Pulau Seychelles di Lautan Hindi ada juga yang hilang jejak seperti dato pendekar ahmad dan lain nya tetapi perjuangan mereka akan terus menjadi aspirasi generasi kini.

Peristiwa tersebut telah memberikan pengajaran yang berguna kepada Inggeris dalam merancanakan rancangan penjajahan mereka yang selanjutnya. Raja Yusuf telah diangkat sebagai Sultan Perak yang ke 27 (1877-1887) bergelar Sultan Yusuf Sharifuddin Muzzaffar Shah dan Raja Idris yang menghakimkan perbicaraan kes pembunuhan J.W.W.Birch telah diangkat menjadi Raja Muda. Sistem pertadbiran negeri telah diperkemaskan lagi dan dipersesuaikan dengan dasar Inggeris. Pembesar-pembesar negeri yang tidak sesuai telah di pencenkan dan yang berkebolehan serta masih taat kepada pemerintah telah dijadikanpegawai bergaji tetap dan mesti bekerja untuk Inggeris atas nama titah perintah Sultan.

Perjuangan Kemerdekaan di Negeri Perak

Perak adalah merupakan tanah keramat yang menjadi saksi lahir ramai pejuang kemerdekaan khususnya dari kalangan mereka yang dilabel sebagai berhaluan kiri. Nama-nama pejuang kemerdekaan seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy, Al-Fadhil ust Abu Bakar Al-Baqir, Ahmad Boestamam, Abdul Majid Salleh dan ramai lagi adalah mereka yang berasal dari negeri ini. Selain itu, gerakan-gerakan yang kemerdekaan juga banyak dilancarkan dan bergiat aktif di negeri Perak. Gerakan kesedaran dan perjuangan kemerdekaan oleh Al-Fadhil Ustaz Abu Bakar Al-Baqir di Maahad Ehya' Al-Sharif, gunung Semanggol sebagai contoh adalah merupakan sebuah gerakan kemerdekaan Tanah Melayu yang dipimpin oleh golongan ulama' dan agamawan sehingga tertubuh Parti Hizbul Muslimin (HAMIM).

Akibat dari suara dan sikap yang lantang menuntut kemerdekaan, maka parti ini ditakuti oleh pihak penjajah British. Maka dilemparkanlah kepada mereka tuduhan dan tohmah-tohmah. Ia juga dituduh sebagai parti "merah" (komunis). Dato' Onn Jaafar, yang pada masa itu memimpin UMNO, bersikap agak lunak, bahkan dengan secara sindiran mengingatkan anggota UMNO bahawa pertubuhan politik di Gunung Semanggol itu ialah suatu bahaya dari gunung yang patut diawasi. Pengaruh Gunung Semanggol dalam membentuk pemikiran umat Islam di Malaya sesungguhnya amat ketara.Ketakutan pihak berkuasa British terhadap perkembangan cita-cita Islam dalam politik memuncak ketika pada 29 Julai 1948, pukul 12 tengah hari tiga orang pemimpin utama HAMIM ditangkap. Mereka ialah Syeikh Abu Bakar al-Baqir, Ustaz Abd. Rabb al-Tamimi, dan Ustaz Abdul Rauf Nur. Syeikh Abu Bakar dibebaskan daripada tahanan dalam bulan Oktober 1952. Ekoran daripada penahanan ini HAMIM menjadi lumpuh dan akhirnya terkubur.

Selain dari HAMIM, tokoh Nasionalisme Perak Dr Burhanuddin Al-Helmy telah mengasaskan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang juga dikenali Parti Nasionalis Melayu (PNM) (bahasa Inggeris: Malay Nationalist Party) pada 17 Oktober 1945 di Ipoh, Negeri Perak. Parti ini merupakan parti politik Melayu yang pertama ditubuhkan selepas pendudukan Jepun di Tanah Melayu Parti ini menuntut kemerdekaan penuh bagi Tanah Melayu dan menentang sebarang bentuk penjajahan Inggeris. PKMM menyebarkan pengaruhnya melalui akhbar-akhbar hariannya iaitu Suara Rakyat, Pelita Malaya dan Semboyan Baharu dan terbitan bulanan iaitu majalah Berjuang dan Voice of the People.

Malahan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin Dr Burhanuddin ditubuhkan lebih awal daripada Umno dan melaungkan slogan “Merdeka”. Walaupun akhirnya Umno yang berjaya mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah Inggeris melalui rundingan selepas semua parti progresif seperti PKMM diharamkan, peranan dan sumbangan gerakan ini dalam mendapatkan kemerdekaan tidak boleh dinafikan.

Tanggal 26 November 2015, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah memberi anugerah kepada Dr Burhanuddin Al-Helmy dengan Darjah Seri Paduka Mahkota Perak yang membawa gelaran Datuk Seri secara Anumerta.

Ehwal Semasa Negeri Perak

Pembangunan ekonomi telah di lipatgandakan dengan pembukaan lombong-lombong baru yang lebih moden dan ladang-ladang getah dan ini telah menyebabkan munculnya bandar-bandar baru disekitar kawasan perekonomian. Bagi menghubungkan rangkaian bandar-bandar baru saperti Taiping dan Ipoh, jalan-jalan raya dan perkhidmatan keretapi telah diwujudkan. Bandartraditional Melayu telah ditinggalkan kesepian kerana segala kepentingan ekonomi dan urusan perniagaan telah tertumpu di sekitar kawasan yang baru dibangunkan oleh penjajah Inggeris. Maka terasinglah orang Melayu dan tinggal lah mereka kesepian dengan corak penghidupan lama mereka di kawasan pertanian, di kuala-kuala sungai dan bandar tradisional warisan mereka.

Penduduk-penduduk Perak telah berkembang pesat dengan penghijrahan beramai-ramai buruh-buruh kaum Cina dan India untuk mengusahakan sektor perlombongan bijih dan ladang getah. Maka daripada sinilah wujudnya masyarakat majmuk yang dapat dikenali daripada identiti kegiatan ekonomi masing-masing.

Negeri Perak sungguh beruntung kerana golongan-golongan Kerabat Di Raja saperti Sultan Idris Murshidul Aadzam Shah, Sultan Iskandar Shah dan Raja Sir Chulan masih lantang bersuara dan memperjuangkan nasib rakyat yang di kekang penjajah.

Dalam menghadapi aliran perkembangan politik moden di pertengahan tahun 1940-an hinggalah Tanah Melayu mengalami bahana Perang Dunia Kedua, seterusnya detik-detik kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, sejarah Negeri Perak berkait rapat dengan sejarah Tanah Melayu pada umumnya. Dalam hal ini negeri Perak telah melahirkan ramai tokoh-tokoh dan pejuang kemerdekaan yang masih harum namanya menjadi kebanggaan generasi sekarang. Sehingga kini payungan di raja Kesultanan Perak masih utuh menaungi kemakmuran negeri dan menjadi lambang kedaulatan dan kekuatan Negeri Perak Darul Ridzuan.